“Kami mahu menjemput Imam untuk solat jenazah di Funeral Home!” kata pegawai polis tersebut.
Bingung.
Solat jenazah.
Di Funeral Home?
Saya kehairanan.
“Siapa yang meninggal dunia?” saya bertanya.
“Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun” jawab pegawai polis itu.
“Baiklah. Saya panggil beberapa orang lagi dan kita berangkat 10 minit lagi” saya bersetuju.
Tengah hari itu saya berjaya mengumpulkan kira-kira 7 orang jemaah masjid. Kami bertolak ke Funeral Home itu dengan sebuah kereta limosin hitam yang disediakan oleh pihak gereja. Di sepanjang perjalanan, saya masih tidak jelas dengan majlis yang bakal kami hadiri.
Perjalanan ke Funeral Home yang terletak di pinggir Belfast Selatan itu tidak memakan masa yang panjang. Kelihatan di perkarangan bangunan, banyak kereta dan orang ramai yang berpakaian hitam.
Suasana diselubungi kesedihan.
Pegawai polis yang membawa kami, memperkenalkan saya kepada seorang wanita Irish. Beliau berusia dalam lingkungan akhir 20′an.
“Oh, inikah Imam tersebut?” tanya beliau.
“Ya. Perkenalkan, Mr. Hasrizal” kata pegawai polis itu kepada wanita tersebut.
“Oh, terima kasih Mr. Imam. Saya Jenny, ibu kepada Mary” beliau memperkenalkan diri kepada saya.
Saya perasan yang Jenny tidak menghulurkan tangan untuk bersalam. Bagus sekali.
“Maafkan saya. Saya menumpang sedih atas kematian anak puan. Bagaimana semua itu berlaku?” saya bertanya.
“Entahlah. Kami bangun pagi dan Mary sudah pun meninggal dunia di dalam tidurnya” kata Jenny.
Sungguh tragis. Seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang sihat, tiba-tiba ditemui meninggal dunia di dalam tidurnya. Saya segera teringatkan Saiful Islam yang masih kecil di rumah. Sesungguhnya setiap hari anak kita berjaya bangun daripada tidurnya dan bernafas, ia adalah anugerah Allah buatnya dan buat kita. Setiap hari adalah survival. Terasa benar betapa fragile seorang bayi. Betapa perlunya ibu dan bapa memberikan kepadanya sebaik-baik penjagaan.
“Perkenalkan ini Mustafa, suami saya!” kata Jenny.
Saya menghulurkan tangan beriringan dengan senyuman.
Mustafa berpaling ke arah lain. Enggan bersalaman dengan saya.
Saya agak terkejut. Terkejut dengan penampilannya yang rugged dan beranting-anting. Terkejut kerana namanya Mustafa, seorang Muslim dari Algeria . Terkejut kerana dia enggan bersalaman dengan saya. Terkejut kerana isterinya yang Jenny itu pula yang mengusahakan kedatangan saya dan rombongan masjid untuk menyembahyangkan jenazah anak mereka, Mary.
“Maaf saya, Imam. Dia kesedihan” kata Jenny.
“Tak mengapa. Saya juga kalau berada di tempatnya, pasti sedih dan sukar untuk berkelakuan biasa” saya menjawab.
“Saya seorang Katholik. Tetapi saya mahu Mary disembahyangkan sebagai seorang Muslim. Saya yang menghubungi pihak polis meminta mereka mencari masjid dan Imam” jelas Jenny lagi.
Perlahan-lahan saya dan jemaah masjid melangkah masuk ke dewan. Saudara-mara mereka sudah memenuhi dewan. Sesungguhnya ia merupakan suatu pengalaman baru yang sungguh menguji keyakinan diri saya. Tidak pernah saya membayangkan boleh berada di dalam suasana seperti ini, suatu hari nanti.
Saya berdiri di sisi keranda.
Seorang anak kecil tidak seperti sekujur mayat.
Wajahnya ada senyuman.
Rambut dipintal cantik.
Baju gaun putih sungguh berseri.
Saya hampir terlupa, anak kecil yang ‘tidur’ itu telah tidur yang tidak akan menjengah pagi. Pergi tak kembali.
Sebak dada menahan mata yang semakin berkaca.
“Tidurlah sayang. Allah mengasihimu” saya berbisik perlahan.
Keranda kecil itu kami betulkan posisinya agar bertepatan dengan Kiblat. Cuba mencari ruang yang bersih daripada patung Jesus dan gambar-gambar yang tidak kena untuk berada di hadapan kami yang mahu mengangkat Takbir.
Saya, Jamal, As’ad, Ahmad dan beberapa orang lagi jemaah Masjid yang hadir mengerjakan solat jenazah untuk melunaskan hak anak kecil itu ke atas kami. Semoga anak itu berehat di alam sana . Saya terkilan kerana ayahnya, Mustafa, enggan menyertai solat jenazah kami ke atas anaknya yang ‘ malang ’ itu. Beliau hanya duduk bersama keluarga isterinya yang Katholik itu, memerhatikan kami bersolat.
Selesai solat didirikan, saya dikehendaki memberikan sepatah dua kata.
Aduh!
Apa yang mahu saya ucapkan? Di hadapan orang Irish itu? Katholik? Suasana sedih?
Saban hari, ada sahaja tugas baru yang tidak pernah berada di dalam jangkaan saya. Setiap hari adalah cabaran. Kemahuan dakwah dan khidmat tidak cukup. Saya perlu ada keberanian untuk melakukan apa yang perlu.
Just do it!
“Silakan Imam!” kata pengerusi majlis.
Tersentak saya daripada lamunan.
“Encik Mustafa, Puan Jenny, ahli keluarga dan rakan-rakan yang hadir. Hari ini adalah hari yang sedih buat semua. Sedih buat Encik Mustafa dan Puan Jenny, sedih untuk kita semua dan sedih untuk saya, seorang bapa kepada seorang anak kecil. Ia sedih untuk kita semua. Tetapi kesedihan itu mungkin boleh dikurangkan dengan berfikir tentang sesuatu yang gembira…” saya memulakan bicara.
Cuba untuk empati, dan memilih perkataan yang betul dalam keadaan emosi semua orang yang begitu rapuh.
“Di sisi Islam, setiap bayi yang lahir, tanpa mengira siapa bapa dan siapa ibunya, apa warna kulit dan di bumi mana kelahirannya, setiap bayi lahir suci. Penuh potensi untuk kehidupan. Mary meninggalkan kita ketika beliau belum mencapai usia baligh. Beliau suci dan dengan kesucian itu, beliau kita berada di tempat yang terbaik di sisi Tuhan. Dan jika kita biasa membayangkan bahawa anak-anak akan mengebumikan ibu bapa yang mati sakit tua, hakikatnya di dalam hidup ini boleh sahaja berlaku, ibu dan bapa yang menghantar anak pergi. Semua itu adalah cara Tuhan memberitahu kita, bahawa kita semua adalah milik-Nya” saya menyudahkan ucapan.
"Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat)” [al-Kahf 18: 44]
Ucapan ringkas saya itu mendapat tepukan yang positif daripada sekalian mereka yang hadir.
Saya menarik nafas lega. Dan dalam kelegaan itu, ungkapan sebenarnya adalah ALHAMDULILLAH.
“Bagaimana dengan pengebumian? Apakah kita mahu biarkan sahaja anak itu dikebumikan di tanah perkuburan Kristian?” bisik salah seorang ahli rombongan masjid yang hadir.
“Apakah salib yang bakal dipacak di atas keranda budak itu akan mengubah nasibnya di kubur? Semua itu bukan keutamaan kita. Berpeluang mengerjakan solat jenazahnya pun sudah merupakan nikmat yang besar buat kita. Jika pengebumian di kubur bukan Islam itu satu isu, serahkanlah ia kepada Encik Mustafa, bapanya. Apa yang penting, amalan si mati. Dan untuk almarhumah Mary, tiada apa yang perlu kita khuatirkan. Pengebumian untuk dia, bukan untuk kita!” saya menjawab.
Lelaki itu berpuas hati.
Beliau beredar meninggalkan dewan Funeral Home itu bersama kami.
Di dalam perjalanan pulang, fikiran saya berkecamuk. Antara sedih dan lega. Sedih memikirkan keadaan Mary. Tetapi lega Allah ‘mengambilnya’ semula pada usia semuda itu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana Mary akan membesar dengan baik jika ibunya yang Kristian Katholik itu bersungguh dengan Islam, manakala bapanya yang Muslim itu pula, entah di mana Islamnya.
BEBERAPA HARI SELEPAS ITU
Pengalaman menyembahyangkan jenazah seorang anak kecil yang ibunya Kristian Katholik dan bapanya Muslim, adalah sesuatu yang tidak pernah berada di dalam bayangan saya semasa menerima perlantikan sebagai Imam di Belfast Islamic Centre. Saya tahu di Belfast memang ada sejumlah Muslim yang mengahwini Irish Kristian dengan peruntukan Syariah dalam perkahwinan Kitabiyyah. Apa yang sering merunsingkan saya adalah pada memikirkan nasib anak-anak daripada perkahwinan itu.
“Assalamualaikum, Imam” tiba-tiba Ahmad memanggil saya.
“Wa ‘alaikum al-Salaam. Silakan!” saya menjawab salam.
“ Ada seorang pemuda bernama Jonathan. Beliau mahu bertemu dengan Imam” jelas Ahmad.
Saya mempersilakan Jonathan masuk ke pejabat. Wajahnya seperti pernah saya lihat tetapi tidak pasti di mana.
“Imam tidak ingat saya, barangkali. Saya hadir di majlis penghormatan terakhir ke atas baby Mary minggu lalu. Saya sepupunya” Jonathan memperkenalkan diri.
“Oh begitu. Maafkan saya. Bagaimana Jenny dan suaminya?” saya bertanya.
“Mereka berada di dalam keadaan yang baik. Terutamanya ibu saudara saya, Jenny. Dia memang seorang yang cekal” terang Jonathan.
“Apa hajat saudara datang ke masjid ini? Insya Allah saya cuba membantu” saya terus kepada urusan utama.
“Semasa kami mendapat tahu Mary meninggal dunia, semua orang marahkan Jenny. Beliau menangguh-nangguhka n Baptism ke atas Mary sehingga Mary mati. Kami semua bimbang dengan keadaan Mary yang tidak dibersihkan daripada original sin dan ini menyulitkannya nanti untuk berinteraksi dengan Divine Life. Tetapi ucapan Tuan Imam selepas sembahyang itu mengubah segalanya. Saya terkejut apabila tuan katakan bahawa, menurut Islam Mary mati dalam keadaan yang bersih!” cerita Jonathan.
“Benar. Bukankah itu juga yang sepatutnya?” saya menyoal lagi.
“Ya, kami semua mahu percaya bahawa Mary suci. Susah sekali mahu membayangkan seorang yang kecil, suci dan bersih seperti Mary, mati sebagai manusia berdosa. Tetapi Islam menepati perasaan sebenar kami” ujar Jonathan lagi.
Saya tergamam.
Ucapan ringkas dan spontan saya tempoh hari amat hambar dan terlalu biasa buat saya. Rupa-rupanya impak ucapan itu besar kepada yang mendengarnya.
“Saya mahu belajar tentang Islam” kata Jonathan.
Masya Allah… benarlah Islam itu fitrah.
Kematian Mary, adalah untuk ‘melahirkan semula’ Jonathan, seorang anak muda.
Jonathan, selamat datang ke agama fitrah!
Hebat sungguh perancangan- Mu!
Saturday, June 19, 2010
Bersolat di Funeral Home
Catatan oleh Faqir ila Allah at 12:28 AM 0 comments
Wednesday, March 17, 2010
Kedudukan Orang Yang Cinta Mencintai Kerana Allah
Di antara hadis-hadis itu ialah yang menceritakan kisah tujuh golongan lelaki atau wanita yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naungannya ketika mana tidak ada lagi naungan yang lain kecuali naungan Allah sahaja.
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata:” Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (Riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud & Ibnu Majah)
Ini adalah dalil dan nas yang jelas menggolongkan dia sebagai orang yang berkasih sayang kerana Allah di kalangan tujuh orang yang baik lagi terpilih untuk dinaungi dibawah naungan-Nya di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala. Inilah penghormatan dan kemuliaan paling tinggi yang dikurniakan oleh Allah kepada mereka. Di manakah lagi kita akan dapati kemuliaan yang seperti itu ???
Sesungguhnya kemulian ialah hak bagi kedua-dua orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T. Dimana pada hari tersebut (kiamat) Allah Taala Rabbul Izzah menyeru mereka dan mempersilakan mereka untuk menerima anugerah yang paling tinggi, iaitu pada hari berhimpunnya sekelian bani (anak) Adam di Padang Mahsyar yang maha luas itu.
Di dalam hadis Qudsi yang bermaksud:
"Dimanakah orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku pada hari ini, Aku perlindungi mereka dibawah naungan Ku pada hari yang tiada lagi naungan kecuali naungan-Ku" (Riwayat Muslim)
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Muaz dari Rasulullah S.A.W baginda bersabda: "Allah Azzawajalla berfirman: orang-orang yang berkasih sayang kerana kemuliaanku, mereka mempunyai beberapa-beberapa mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Shiddiqin dan Syuhada." (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim)
Dalam Hadis Qudsi yang lain diriwayatkan oleh Ubadah As-Sahamit:
"Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang cinta mencintai keranaKu. Kasih-sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang sering memperhubungkan tali silaturahim keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bernasihat keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling berziarah keranaKu. Kasih sayangKu berhaklah diberikan kepada orang yang saling bantu membantu keranaKu. Orang yang cinta mencintai keranaKu berada di atas mimbar-mimbar dari cahaya, sangat dicita-citakan tempat-tempat mereka itu oleh para Nabi, Siddiqin dan Syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Hakim, Qudha'i)
Alangkah tingginya kemuliaan mereka. Alangkah sempurnannya ganjaran yang akan mereka dapati kerana mereka berkasih sayang kerana Allah.
Sesungguhnya cinta kerana Allah bukan kerana sesuatu yang lain sahaja yang ada dalam hidup ini. Hidup ini adalah hidup yang penuh dengan pelbagai kepentingan diri dan pelbagai perkara yang disukai oleh hawa nafsu. Jadi, cinta kerana Allah dalam suasana yang demikian sangat payah untuk dicapai dan dicari. Tiada siapa yang mampu mencapainya kecuali orang yang telah bersih jiwanya, tinggi semangatnya dan mereka mampu melihat betapa hinanya dunia ini berbanding keredhaan Allah. Tidak hairanlah kalau Allah telah menyediakan bagi mereka darjat yang tinggi sesuai dengan ketinggian mereka didunia dalam mengatasi segala kesibukan dunia yang serba mewah dan penuh dengan perhiasan ini.
Memang orang sifatnya demikian sangat sukar didapati pada zaman ini, meskipun tidak dapat dinafikan mereka itu ada dalam masyarakat kita masa ini, tetapi terlalu sedikit sekali bilangannya. Mereka tidak semestinya datang dari kalangan saudara-mara, atau kaum kerabat sendiri. Tetapi kalau ada memang itulah yang paling baik sekali, supaya hubungan keluargaan itu menjadi lebih erat dan berpanjangan. Memang itu merupakan suatu nikmat, apabila ada seorang saudara sedarah sedaging mengambil berat terhadap saudaranya, masing-masing memberikan perhatian kepada yang lain dalam serba-serbinya di kehidupan ini.
Yang anehnya, bila orang-orang seperti ini datangnya dari luar kaum kerabat, seperti teman rakan dan sahabat yang tiada hubungan darah di antara kita dengannya, tetapi hubungannya dengan kita dan pengambil-beratannya dengan diri kita justeru lebih teguh dan erat dari kaum kerabat sendiri. Itulah tandanya persaudaraannya kerana Allah Ta'ala, yang kerana ikhlasnya dalam persahabatannya itu, dia malah memandang kepada kita. Orang-orang yang semacam inilah yang sangat dikasihi oleh Allah Ta'ala, yang disebutkan dalam sabdanya di atas, bahawa 'Aku akan menaunginya nanti di Hari Kiamat di bawah naunganKu!', firman Allah Ta'ala.
Bertuahlah siapa yang sudah mendapat taufiq daripada Allah untuk bersifat dengan sifat ini. Ini adalah kurnia luar biasa, sebab itulah balasannya juga adalah luar biasa. Kalau sudah dijanji Allah akan mendapat lindunganNya di Hari Kiamat, tentulah hidupnya di dunia ini akan dilindungi Allah pula, supaya dia berjalan di atas jalan yang diridhaiNya, tiada menyelewang dari jalanNya yang lurus. Berbahagialah orang ini, dan mudah-mudahan kita juga akan diberi Allah taufiqNya untuk menjadi orang yang seperti ini, Insya Allah Ta'ala.
Marilah sama-kita renung seketika hadis-hadis Abu Hurairah (R.A) maksudnya: "Bahawasanya ada seorang lelaki yang pergi menziarahi saudaranya (sahabat) di sebuah kampung yang lain, lalu Allah menyuruh malaikat memerhatikannya di atas jalannya. Maka tatkala dia sampai dia berkata : Engkau hendak ke mana ? Lelaki tersebut menjawab: Aku hendak menemui seorang saudara ku di kampung itu. Malaikat bertanya lagi " Adakah engkau telah berbudi kepadanya dan engkau mengharapkan balasannya?" Beliau menjawab " tidak, aku mencintainya kerana Allah" Maka malaikat itu berkata kepadanya "Bahawa sesungguhnya aku ini adalah utusan Allah kepada engkau, sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana engkau mencintai dia kerana Allah.
Dari kitab Nasihat Agama dan Wasiat Iman oleh Imam Habib Abdullah Haddad :
1) Apabila seseorang mencintai orang lain, bersahabat dan membiasakan diri dengannya, kerana dilihatnya orang itu mencintai Allah dan taat-setia kepada perintah Allah, maka hal sedemikian itulah yang dikatakan bercinta-cintaan kerana Allah Ta'ala.
2) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya di dalam selok-belok agama, dan mengarahkannya untuk bertaat-setia terhadap Tuhannya, maka hal sedemikian itu juga dikira bercinta-cintaan kerana Allah.
3) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana orang itu membantunya dalam urusan keduniaan, yang mana dengannya pula ia bisa mengurus urusan akhiratnya, maka itu juga termasuk cinta-mencintai kerana Allah.
4) Ataupun jika ia mencintai orang itu dan bersahabat dengannya, kerana dirinya merasa senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang senang berkawan dengan orang itu, dan dadanya merasa lapang bila duduk bersama-sama dengannya.
5) Ataupun orang itu dapat menolongnya di dalam urusan dunianya, dan di dalam hal-ehwal kehidupannya, yang menerusinya ia bisa hidup senang-lenang, maka cinta serupa itu adalah cinta biasa yang tidak ada kena-mengena sedikit pun dengan Allah.
6) Adapun jika ia bersahabat kepada seseorang, kerana orang itu bisa menemannya untuk pergi ke tempat maksiat, atau membantunya untuk menganiaya orang, ataupun memimpin dan menunjuknya ke jalan-jalan fasik dan mungkar, maka persahabatan serupa itu dan kecintaan serupa itu adalah persahabatan dicela dan kecintaan yang tidak berguna, kerana ia menarik kita ke jalan syaitan, yang tidak kena-mengena dengan Allah. Persahabatan dan kecintaan serupa inilah yang akan bertukar menjadi permusuhan di akhirat.
Alangkah besarnya cinta yang sedemikian yang mengangkat manusia sampai ke darjat di mana Allah mencintai dan meredhainya.
Didalam hadis yang lain Rasulullah SAW menegaskan bahawa sesungguhnya Mahabbah (berkasih sayang) antara orang beriman adalah syarat-syarat iman yang memasukkan penganutnya kedalam syurga.
"Demi yang diriku di dalam genggamannya , kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah kamu aku (nabi) tunjukkan sesuatu yang apabila kamu melakukannya maka akan lahirlah kasih sayang? Sebarkan salam di antara kamu." (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah)
Sesungguhnya Rasulullah telah mengetahui dengan pandangan tarbiah yang diperolehi dari Allah, bahawasanya tidak ada sesuatu pun yang dapat mencabut hasad dengki dari dada, dan kekotoran jiwa kecuali persahabatan yang sejati. Satu nilai persahabatan yang tinggi yang menguasai kehidupan orang Islam yang dibangunkan atas dasar Mahabbah, nasihat menasihati, perpaduan, bebas dari segala tipu daya, hasad dengki, benci membenci dan sebagainya.
Dengan kasih sayang yang gemilang inilah, Rasulullah telah membangunkan generasi Islam yang pertama, satu generasi yang telah menyampaikan langit kebumi (rahmat yang melimpah ruah) dan membina mahligai Islam di alam sejagat. Inilah dia kasih sayang dan perpaduan yang tiada siapa sudi menanamnya didalam hati kecuali Islam. Kasih sayang yang suci lagi kukuh dan cinta yang setia di antara mereka jualah yang akan menjayakan perjuangan mereka.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya:
"Perumpamaan orang beriman yang berkasih sayang, dan saling rahmat merahmati dan di dalam kemesraan sesama mereka adalah seperti satu tubuh, apabila satu anggota mengadu sakit, maka seluruh tubuh akan turut merasainya dan membantunya dengan berjaga malam dan demam." (Riwayat Muslim)
Sesungguhnya orang Islam yang menghayati ajaran agamanya akan mempunyai hati dan perasaan yang sentiasa berkobar-kobar untuk mencintai saudara dan sahabatnya. Dia akan menghadapi mereka dengan sepenuh hati dan perasaannya. Inilah asas-asas yang menjadi faktor perpaduan untuk mencapai cinta dan redha Allah di Akhirat kelak.
Fahamkanlah maksud Hadis ini baik-baik, moga-moga Allah merahmati anda! Dan membimbing anda ke jalan yang diridhaiNya, agar anda disayangiNya, serta diberikanNya balasan besar yang memang telah disediakanNya untuk siapa yang disayangiNya. Amin.
Fatwa Saiyidina Umar r.a :
“Orang yang bijaksana,tidaklah dia mahu mencari sahabat melainkan orang-orang yang panjang fikirannya, kuat agamanya, luas ilmunya, tinggi akhalaknya, lanjut akalnya, dan di waktu mudanya bergaul dengan orang-orang yang soleh. Barangsiapa yang melalaikan keteguhan percintaan dari sahabatnya, maka tidaklah dia akan merasai buah persaudaraan orang itu terhadapnya. Barangsiapa yang memutuskan persaudaraan sebab takut dikhianati, maka hiduplah dia dengan tidak bersaudara. Tidaklah ada kesenangan hati yang menyamai kesenangan bersahabat, dan tidaklah ada kedukaan yang melebihi kedukaan apabila putusnya persahabatan itu.”
"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." (At-Taubah:24)
Ya Allah, jauhilah aku dari cinta panahan syaitan, berikanlah cintaku ini kepada seseorang yang sangat mencintaiMu...lapangkanlah hati ku ini dengan cintaMu yg sejati...sekiranya dia bukan Kau ciptakan buatku, maka Kau jauhkan lah dia dari pandanganku dan berikanlah aku kekuatan untuk terus bercinta denganMu.
Doa Rasulullah s.a.w.: Ya Allah, kurniakalah perasaan cinta kepada-Mu, dan cinta kepada orang yang mengasihi-Mu, dan apa sahaja yang membawa daku menghampiri cinta-Mu. Jadikanlah cinta-Mu itu lebih aku hargai daripada air sejuk bagi orang yang kehausan.
Catatan oleh Faqir ila Allah at 10:53 AM 0 comments
Golongan tidak solat berleluasa apabila hudud tidak dilaksana
Telah terjadi khilaf para sahabat rh antara Saidina Umar al-Khattab rh dan Saidina Abu Bakar ra dalam masalah memerang golongan yang tidak mengeluarkan zakat,Saidina Umar rh beralasan mereka tidak boleh diperangi kerana masih mengucap dua kalimah syahadah dan Saidina Abu Bakar rh beralasan mereka boleh diperangi kerana ayat mengenai zakat beriringan dengan solat didalam al-Qur'an.
Disebabkan pendapat Saidina Abu Bakar al-Siddiq rh,maka jumhur ulama sepakat golongan yang meninggalkan solat hukumnya bunuh,namun terjadi khilaf ulama ialah bagaimana cara membunuhnya.
Pendapat Imam Ahmad Ibn Hambal rh dari buku Imam Ibn Qayyim 'Amaran mengabaikan solat' dalam bab 'Hukum meninggalkan puasa,zakat dan haji' berkata:
Sebagaimana orang yang meninggalkan solat wajib dibunuh,apakah wajib juga membunuh orang yang tidak berzakat,tidak berpuasa dan tidak mengerjakan haji?
Orang yang tidak berzakat,tidak puasa dan tidak mahu mengerjakan haji wajib dibunuh seperti yang meninggalkan solat.Alasannya kerana zakat,puasa dan haji merupakan dasar atau rukun Islam seperti solat.Itulah sebab Abu Bakar al-Siddiq rh memerangi orang2 yang enggan membayar zakat.
Abu Bakar al-Siddiq rh berkata:"Demi Allah akan aku perangi orang2 yang membezakan antara zakat dengan solat,padahal keduanya selalu beriringan (bergandingan) disebutkan dalam al-Qur'an.
Zakat juga termasuk rukun Islam.Menurut Rasulullah saw yang tidak diperangi hanyalah orang yang mengucapkan kalimah syahadah dan melaksanakan hak Islam,yakni rukun Islam.
Moga2 penjelasan ini,serulah keluarga kita agar mendirikan solat kerana orang pertama yang Rasulullah saw seru kepada Islam ialah orang yang terdekat yakni keluarga Baginda kemudian barulah masyarakat.

Catatan oleh Faqir ila Allah at 10:12 AM 0 comments
Tuesday, December 22, 2009
Ways to Increase Your Khusyu'
Khusyu' is to have calmness,serenity ,tranquillity,and humility when praying.
What makes a person have this Khushoo is the fear of Allah(swt) and the sense He is always watching you.
2- Always use a prayer mat to give you a prayer-zone, this will provide you with somewhere to fix your attention.
3- Avoid praying when you want to go toilet or pass wind.
4- To make your intention before prayer that much more powerful,remember that this may be your last prayer before you die.
5- Remember that when you pray, Allah(swt) is listenng to you, so try and concentrate and be sincere when you recte.
6- To help you concentrate, memorise the meaning of what you pray in salah so that? when you recite you can pray to Allah(swt) with seriousness.
7- Try to memorise a new surah of Qur'an every week/month so that you are not just repeating surah Ikhlas, this will help you avoid being robotic in your prayer.
8- Lengthen the sitting between the two prostrations (sajdatain) to prevent you from rushing the salah. It was said that the Prophet(saw)would pause in between his prostrations for so long that one would say he had forgotten.
9- Increase the time in prostration by learning an alternative Dua in addition to subhaana Rabbi Yal'A'laa. This will give more meaning to your prostration. The Prophet( saw) said, The closest a servant is to his Lord is when he is in Sujood(prostration), so make Dua frequently.[Tirmidhi]
10- Maintain the good habit of reading the Sunnah Prayers.
Catatan oleh Faqir ila Allah at 11:48 PM 0 comments
Adakah Khusyu' Solat Anda?
IMAM AL-GHAZALI menyatakan bahawa orang yang tidak khusyuk sembahyangnya adalah dikira sia-sia belaka, kerana tujuan solat itu selain untuk mengingati Allah SWT, ia juga berfungsi sebagai alat pencegah dari perbuatan keji dan mungkar. Apabila lalai ketika menunaikan solat bererti orang tersebut tidak akan berasa gerun ketika melakukan perkara keji dan mungkar.
Solat yang khusyuk ialah mereka yang sentiasa sedar dan mengikuti segala pengertian dari setiap kalimah yang di ucapkan di dalam solatnya. Justeru itu apabila ia membaca Fatihah, hatinya akan mengikuti dan memahami makna setiap kalimah yang terucap. Misalnya apabila mereka membaca ayat keempat dari Surah Al-Fatihah yang bermaksud:
"Tuhan yang memiliki hari Akhirat."
Maka tergambar segala kalut sibuk dan huru-hara manusia serta bersesak di padang Masyhar, ia akan terasa diri semakin kerdil dan lemah disisi Allah SWT.
Apabila membaca ayat kelima dari surah Al-Fatihah yang bermaksud :
"Engkaulah yang kusembah dan Engkaulah tempatku bermohon."
Bererti mereka telah memberikan kesetiaan dan pengabdian hanya kepada Allah, bukannya menjadi penyembah hawa nafsu atau yang lain-lainnya. Akhirnya mereka tidak ada keinginan untuk melakukan perkara keji dan mungkar, kerana melakukan perbuatan keji bererti mereka telah menjadi hamba nafsu, yang demikian adalah bercanggah dengan ucapannya yang mengaku bahawa dia hanya menyembah Allah SWT semata-mata.
Selepas itu mengamati lain-lain bacaan dalam sembahyang dengan khusyuk, yang mengandungi berbagai bacaan dan doa-doa yang memperlihatkan kebesaran Tuhan. Jika difahami sungguh-sungguh cukuplah kesemua itu akan menghakis sikap-sikap hodoh yang ada pada diri manusia itu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :
"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya. "
Hadis tersebut menggambarkan betapa banyak sembahyang yang didirikan oleh seseorang itu, tetapi malangnya ia tidak memperolehi pahala melalui sembahyang itu.
Firman Allah yang bermaksud :
"Maka kecelakaanlah bagi orang-orang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai dari solatnya." [Surah al-Ma'un : ayat 4-5]
Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud :
"Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."
Hadis tersebut menjelaskan bahawa solat seseorang yang dalam keadaan lalai, sesungguhnya tidak mempunyai sebarang nilai kebaikan di sisi Allah SWT. Malah solatnya itu akan sekadar menjadi kayu pengukur, jika seseorang ingin tahu sekadar mana pahala yang di perolehi dan sebanyak mana pula yang kosong, maka selepas solat cubalah adakan muhasabah, sebanyak manakah masa yang dia berada dalam keadaan khusyuk, iaitu ingat segala perbuatan dan ucapan mereka dalam sembahyang itu, atau sebanyakmana pula yang lalai. Kalau banyak masa lalai maka setakat baki yang sedikit itu tidak payahlah untuk menunggu akhirat bagi melihat pahala
solat itu, sebaliknya didunia ini pun kita sudah boleh mengagak apa yang kita perolehi dari solat yang tidak khusyuk itu.
Sesungguhnya solat itu tidak sama dengan ibadah yang lain.Jika dibandingkan dengan ibadah puasa, memang dalam ibadah puasa tidak ada khusyuk, tetapi puasa yang memenuhi segala syarat akan kelihatan kesannya dari puasanya itu. Disebabkan menahan lapar dan dahaga bukan sahaja mereka akan kelihatan letih dan kurang bermaya, tetapi juga mereka kelihatan sebagai seorang yang tinggi pekertinya, senantiasa menjaga perkara yang boleh membatalkan puasa dan juga pahala puasa seperti menjaga lidahnya dari mengumpat dan mengeluarkan kata-kata yang tidak berfaedah.
Begitu juga zakat, walaupun ketika melakukan ibadah zakat itu tidak disertai dengan khusyuk namun maksud kepada penunaian zakat itu kelihatan juga. Menunaikan zakat dapat menghakis sifat bakhil seseorang. Orang-orang yang dikuasai oleh sifat bakhil tidak mungkin mampu menunaikan zakat.
Demikian juga dengan ibadah haji, walaupun ketika melakukan ibadah haji seseorang itu dalam keadaan lalai kerana ibadah haji melibatkan dua perkara iaitu tubuh badan dan harta benda. Sama ada menunaikan haji itu dalam keadaan lalai dan sebagainya, namun kesannya dari ibadah haji itu jelas ketara, kerana ia terpaksa membelanjakan wang beribu-ribu ringgit. Tubuh badan terasa letih dan wang ringgit habis.
Sebaliknya ibadah solat ini amat berbeza sekali dengan semua ibadah yang dinyatakan itu. Menurut Imam al-Ghazali bahawa solat itu merupakan "munajat" (berdialog dan berbisik) seorang hamba terhadap Tuhannya. Apabila solat itu sebagai munajat sudah tentu dilakukan dengan penuh kesedaran di samping khusyuk dan tawadhuk. Bagaimana mungkin seorang yang lalai boleh berbisik atau berdialog dengan Allah SWT.
Orang yang mengerjakan solat dalam keadaan lalai sama keadaannya orang yang mengigau ketika tidur, walaupun mungkin ia menyebut Allahu Akbar dan juga lain-lain kalimah yang memuji keagungan Allah SWT, seperti bertasbih mensucikan Allah, bertahmid memuji Allah namun semua itu tidak termasuk lansung dalam pengertian munajat kepada Allah kerana sebenarnya orang itu sedang mengigau. Sesungguhnya orang mengigau itu adalah orang yang bertutur di luar kesedaran.
Khusyuk menjadi syarat sama ada solat seseorang itu akan diterima oleh Allah SWT. Jika khusyuk tidak wujud dalam diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi dengan sifat lalai. Orang yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah SWT, sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi segala puji-pujian terhadap Allah.
Segala puji-pujian yang ditujukan kepada Allah SWT bukan saja melalui ucapan lisan, tetapi juga dengan bahasa hati. Apabila hati lalai ia
akan menjadi hijab yang menghalang seseorang itu untuk menghampiri Alah, meskipun Allah SWT menyatakan bahawa ia lebih hampir daripada saraf dan urat seseorang.
Firman Allah Taala yang berbunyi:
"Ketahuilah dengan menyebut nama Allah itu dapat menenangkan hati." [Surah Ar-Ra'adu : ayat 28]
Catatan oleh Faqir ila Allah at 2:39 AM 0 comments
Subscribe to:
Posts (Atom)











